Wednesday 12 June 2013

SSID bab 19


Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia!  19


BAB 19
SYAF RALIT memerhatikan Firash yang memandu di sebelah. Sekejap kereta mula ke kiri dan sekejap mula ke kanan. Dia perasan semua tu. Beberapa kali dia melihat Firash menahan menguap dengan tapak tangan.
“Kalau mengantuk, stoplah dulu tak pun tukar driver.” Cadang Syaf bila Firash dah mula menurunkan cermin tingkap kereta. Angin malam mula menerobos masuk. Mungkin dia sengaja buat macam tu untuk hilangkan mengantuk kut, fikir hati Syaf.
“Aku okay lagi.” Firash membalas. Kejap pegangannya pada stereng kereta. Puan Farizah memerhatikan dari belakang. Sudah masak benar dengan perangai anaknya yang sedikit keras kepala. Bukannya nak dengar cakap orang lain pun.
“Kereta depan tu!” Syaf sedikit menjerit apabila kereta Toyota Camry tu hampir saja melanggar dengan bontot kereta ProtonWaja di hadapan mereka. Rasa-rasanya kalau terleka tadi memang konfem berlanggar. Firash tersentak lalu sedikit kelajuan memperlahankan kereta. Syaf mengurut dada dengan tangan. Rasa macam nak terbang saja nyawanya tadi.
“Firash, bagi Syaf drive pulak. Nampak dah ngantuk sangat tu.” Tegur Datin Farizah dari belakang. Bukannya dia tak perasan dengan apa yang berlaku tadi. Dia hanya mampu menutup mata dan beristighfar panjang apabila terdengar jeritan Syaf.
“Ala ma, dah tak jauh dah.” Firash bagi alasan. Sebenarnya nak tunjuk depan Syaf yang tetap boleh memandu empat jam lebih tanpa henti. Takkan nak tunjuk lemah pulak kan? Jatuhlah egonya! Sudahlah masa balik kampung hari tu, mamanya yang ambil alih sebelum sempat sampai ke kampung. Tapi bukannya masa tu Syaf tengah sakit ke? Takkan aku nak biar dia macam tu pulak kan? Hatinya berperang dengan perasaan sendiri.
“Takde-takde. Bagi aje kat Syaf. Kamu tu baik tidur aje dulu.” Sambung Datin Farizah tegas. Kena suruh si Syaf ni drive jugak walau sekejap. Nanti tak pasal-pasal pulak semua yang dalam kereta ni menempah tiket percuma ke rumah bertiang dua.
“Tapi ma…” Firash sekali lagi cuba memberi alasan.
“Mama cakap, tukar-tukar aje lah.” Garang Datin Farizah bersuara.
“Yelah-yelah.” Firash dah mencebik. Dia menjeling tajam ke arah Syaf yang hanya membuat muka selamba. Dalam hati Syaf, dari tadi duduk menahan ketawa.
Firash memberi signal, lalu kereta berhenti ke bahu jalan. Mereka berdua beralih tempat duduk. Syaf pula yang memandu. Firash di sebelah sesekali menjeling ke arah Syaf. Seperti muka tak puas hati saja.
Seketika semuanya senyap membisu. Hanya bunyi lagu dari radio yang berkumandang. Syaf mengalih pandangan ke sebelah sekejap. Nampak Firash dah lena, siap terlentok lagi di sebelah cermin tingkap.
“Kata tak mengantuk tapi tengoklah tu, tak sampai setengah jam pun dah lena.” Rungut Datin Farizah dari belakang. Syaf hanya mengukir senyum sahaja. Biarlah dia lena, penat sangat agaknya tu.
AKHIRNYA KERETA Toyota Camry itu menjalar masuk ke dalam perkarangan halaman rumah banglo milik Datin Farizah. Syaf cepat-cepat keluar dari kereta untuk membuka pintu utama sebelum kembali ke kereta untuk mengambil barang. Firash yang masih lena itu dipandang seketika sebelum berlalu ke bonet belakang.
“Dah sampai ni.” Tegur Datin Farizah lalu menepuk bahu Firash. Lena betul dia tertidur sehingga kereta berhenti pun tak sedar.
“Bangunlah.” Datin Farizah menepuk sekali lagi bahu Firash. Barulah Firash menggosok-gosok mata dengan tangan. Matanya dicelik luas untuk memandang ke sekeliling. Dah sampai ke? Dia memerhatikan Syaf yang sudah masuk ke rumah dengan menolak bagasi beroda itu. Tak sangka pulak boleh tertidur tadi!
“Dah pergi angkat barang tu.” Pesan Datin Farizah sebelum keluar dari perut kereta. Firash membuka pintu kereta dan menggeliat malas. Dia membetulkan sedikit pinggang yang terasa sengal dan menuju ke belakang kereta
CUTI RAYA yang seminggu sudah pun berakhir. Masing-masing dah mula untuk bekerja. Manakala yang masih belajar pula sudah bersiap-sedia untuk menghadiri kelas yang tak pernah habis.
Syaf menapak turun dari tangga dan bergerak ke meja untuk sarapan. Dia melihat Firash ada di situ yang sedang menyapu roti dengan Nutella. Sementara, Datin Farizah pula sedang membawa seteko minuman ke meja.
“Syaf, dah nak gerak ke?” Soal Datin Farizah lalu melabuhkan punggung di kerusi. Matanya mengerling jam di dinding. Baru pukul 7.30 pagi. Awal lagi ni.
“Ha’ah ma. Kena gerak awal sikit. Takut jalan jammed.” Balas Syaf dan menarik kerusi. Mangkuk yang berisi nasi goreng itu ditarik ke hadapannya. Matanya mengerling seketika ke arah Firash yang sedang mengunyah roti.
“Yelah.” Datin Farizah menuang secawan teh o untuk Syaf. Secawan lagi dituang untuk Firash.
Satu senduk nasi goreng disenduk ke pinggannya. Dengan lafaz Basmallah, sesudu nasi disuap ke mulutnya. Syaf mengunyahnya dengan tenang. Sedapnya dapat makan nasi goreng pagi-pagi macam ni. Biasa kalau kat rumah sewa, tak berkesempatan nak makan macam ni. Roti atau sekeping biskut saja yang sempat dicapai sebelum pergi ke ofis.
“Firash ada kelas pagi ke? Biasa jarang bangun awal macam ni.” Soal Datin Farizah pada anaknya itu.
“Tak. Petang nanti ada satu.” Bersahaja dia menjawab. Mulutnya masih penuh dengan roti.
“Habis tu?”
“Lapar.” Syaf dah nak tergelak bila dengar jawapan dari Firash tu. Namun hanya disimpan dalam hati apabila Firash menjeling tajam. Kesian pulak bila dengar ada yang cakap lapar. Tu lah semalam sebelum bertolak dari rumah Tok Wan jual mahal sangat tak nak makan. Kan dah lapar! Syaf mengukir sedikit senyum apabila teringatkan Firash yang bermati-matian tak nak makan dulu sebelum mereka memulakan perjalanan.
“Ma, Syaf kena pergi dah ni.” Ucap Syaf seraya bangun dari kerusi. Bagpack yang ada di atas sofa ditarik dan dijinjit ke bahu. Fail yang satu lagi dibawa dengan tangan. Datin Farizah seraya melangkah ke luar bersama dengan Syaf.
“Hati-hati bawak kereta tu.” Pesan Datin Farizah.
“Yelah ma, Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Tangan Datin Farizah disalam dan pipinya dicium mesra.
Baru saja Syaf nak mengatur langkah ke pintu, isyarat mata dari Datin Farizah menghentikan semua pergerakannya itu. Lambat-lambat dia menghampiri Firash yang masih berada di meja makan.
“Err…”Syaf dah kehilangan kosa kata untuk bercakap dengan Firash. Sudahlah Datin Farizah masih memerhatikannya segala gerak gerinya ketika itu. Pipi dah mula rasa panas semacam.
Firash yang baru saja menghabiskan secawan teh itu berpaling apabila mendengar suara Syaf yang tiba-tiba menjengah ke telinganya. Dia lantas berdiri sambil memandang Syaf dengan riak wajah yang penuh dengan persoalan.
“Nak salam.” Syaf menutur laju seraya menarik tangan Firash untuk mengucupnya. Debaran di dada sudah tak terkata. Firash yang masih lagi terkejut dengan perbuatan Syaf itu kaku seketika sebelum melemparkan pandangan ke arah Datin Farizah yang berdiri tidak jauh dari mereka berdua. Oh patutlah tiba-tiba aje nak salam dengan aku! Selama ni tak pernah-pernah pun buat macam ni!
Segalanya pergerak seolah-olah berlaku dengan pantas. Namun tanpa dia sedar, bibirnya laju mengucup dahi Syaf yang baru saja berdiri itu. Syaf yang dah rasa pipinya panas sejak tadi mula dah rasa berbahang. Cepat-cepat dia segera beredar dari situ sebelum Firash sempat berkata apa-apa. Manakala Datin Farizah pula hanya tersenyum lebar melihat adegan mereka tadi.
Syaf memboloskan diri ke dalam kereta. Seketika enjin kereta cuba dihidupkan namun langsung tak berjaya. Syaf merengus kecil. Takkanlah baru seminggu enjin keretanya tak dihidupkan terus saja merajuk hari ni? Berkali-kali enjin cuba dihidupkan lagi namun semuanya tidak berhasil. Syaf mengetap bibir perlahan. Masa nak cepat ni lah pulak dia buat hal!
“Kenapa ni?” Soal Datin Farizah apabila melihat Syaf tiba-tiba berdiri di muka pintu. Tadi rasanya gadis itu dah masuk ke kereta.
“Enjin tak nak hiduplah ma.” Syaf membuang kasut dan menghenyakkan punggung ke sofa. Dia mengeluh perlahan. Takkan nak ponteng kerja pulak hari ni? Sudahlah banyak kerja yang kena siapkan ni. Dengan ada lawatan kat site lagi petang nanti.
“Kejap, mama suruh Firash hantarkan.” Datinn Farizah seraya menapak ke tangga.
“Ma, tak payahlah. Syaf boleh naik teksi aje.” Namun Datin Farizah tetap tidak mengendahkan bicaranya itu.
“FIRASH.” Datin Farizah menolak pintu bilik anaknya itu. Firash yang baru saja menarik laptopnya keluar dari beg memandang mamanya dengan penuh persoalan.
“Ada apa ma?” Soal Firash menjungkitkan kening. Butang on di laptop ditekan.
“Hantar Syaf pergi kerja kejap, kereta dia tak boleh nak start lah.” Jawab Datin Farizah lalu mendekati Firash yang tengah meniarap di atas katil.
“Panggil teksi aje lah.” Bersahaja Firash menjawab. Matanya masih ralit memandang windows yang baru saja terpapar di skrin.
“Hessy dia ni. Susah nak dapatkan teksi waktu-waktu macam ni.” Sambung Datin Farizah lagi.
“Ala ma, bagi aje dia bawak kereta mama tu.” Cadang Firash. Dia ada kerja yang perlu disiapkan sebab itu lah kalau boleh dia tidak mahu berganjak dari laptopnya.
“Firash, pergi lah hantar Syaf tu. Lagipun Firash kan tak ada kelas pagi ni.” Pujuk Datin Farizah lagi. Firash dah mengeluh perlahan. Sudahlah aku ni ada kerja yang nak buat!
“Yelah, kejap lagi Firash turun.” Firash menutup balik laptopnya. Dia lantas menuju ke almari pakaian. Sehelai T-shirt yang lebih sesuai ditukar dan disarung ke tubuhnya. Dia memerhatikan seketika wajahnya di cermin. Nasib baiklah pagi-pagi tadi dah siap mandi.
Ketika dia sedang menuruni tangga, kelihatan Syaf dan mamanya sedang rancak bersembang.
“Ma, Syaf pergi dulu eh? Takut lambat pulak.” Syaf meminta diri lantas menyarungkan kasutnya. Bagpack disangkut ke bahu dan fail itu dipegang. Dia mengekori Firash dari belakang.
FIRASH MENDENGUS geram. Kereta di depannya langsung tak bergerak. Bunyi hon bertempik kat sana sini. Memang kalau dengar boleh bikin sakit hati. Ni yang malas aku nak drive bila pagi-pagi macam ni! Rungut Firash dalam hati. Sekilas dia melihat Syaf yang hanya mendiamkan diri di sebelah. Gadis itu dari tadi hanya diam saja tanpa kata.
“Ni yang aku malas ni nak drive.” Keluar juga keluhan dari mulut Firash. Syaf berpaling seketika. Entah kenapa hatinya sedikit terasa dengan kata-kata lelaki itu. Tadi pun dia dah cuba halang namun apabila mamanya itu menghiraukan kata-katanya, dia terpaksa akur. Kalau boleh tak nak lah mamanya itu berkecil hati.
“Tak pe, kau berhenti je kat bus-stop depan tu. Aku boleh naik bas.” Balas Syaf dengan nada perlahan. Wajah lelaki itu langsung tak dipandangnya. Firash berpaling dan merenungnya tajam.
“Aku kan dah janji dengan mama tadi. Takkan nak suruh kau naik bas pulak!” Tegas Firash bersuara. Dia merengus kecil seraya memegang kejap stereng kereta. Walau aku ada kerja tadi tapi takkanlah aku nak biar aje kau naik bas atau teksi? Kalau jadi apa-apa kat kau? Macam mana aku nak jawab kat mama dan macam mana aku nak hadapi semua tu? Firash berperang dengan hatinya sendiri. Walau dia ada kerja penting sekalipun, dia tak adalah sanggup membiarkan gadis itu pergi sendiri naik kenderaan awam. Tambahan pula bila dengar akhir-akhir ni banyak saja perbuatan yang tak elok terjadi.
Syaf sudah terkedu. Tangan yang baru sahaja hendak mencapai fail di ribanya itu terus saja terhenti. Dia sempat mengerling sekilas ke arah Firash. Riak wajah lelaki itu nampak tegang.
“Okay.” Lambat-lambat Syaf bersuara. Dia merenung lama ke arah bus-stop yang dipenuhi dengan pelbagai bangsa itu. Ramai jugak orang. Kalau aku tunggu bas belum tentu lagi dapat naik!
Kereta mula bergerak kembali. Suasana kembali sepi. Hanya kedengaran suara Deejay yang berceloteh itu ini di corong radio. Syaf melihat jam tangannya. Ada 15 minit lagi sebelum pukul 9 pagi.
Beberapa ketika kemudian, bangunan tempatnya bekerja mula kelihatan. Syaf mengeluh kelegaan. Firash meliar-liarkan mata untuk mencari parking namun semuanya penuh. Dia merengus kecil lalu memberhentikan kereta di tepi jalan untuk seketika.
“Aku pergi dulu..Erm..Thanks sebab hantar.” Tutur Syaf lalu tangan mencapai fail dan bagpacknya. Tas tangan sudah pun tersangkut di bahu. Pintu kereta dikuak dari dalam.
Firash hanya mengangguk tanpa bersuara. Dia memandang ke arah gadis itu sekilas sebelum kembali memandang ke hadapan. Beberapa saat kemudian, dia teringatkan sesuatu. Cermin kereta yang bertutup itu diturunkan laju.
“Tunggu!” Sedikit kuat Firash memanggil. Syaf yang terasa seperti ada yang bercakap dengannya pantas berpaling. Kepala Firash terjegul keluar dari cermin tingkap.
“Err…Kau panggil aku ke?” Soal Syaf teragak-agak. Bimbang juga kalau-kalau ada insan lain yang memanggil namanya di situ. Tambahan pula tempat itu sudah mula sesak dengan orang ramai yang baru saja nak masuk ofis.
“Kereta kau tak nak bawak pergi servis ke?” Firash menyoal. Syaf berkerut kening lalu mengangguk apabila otaknya mula memahami apa yang diperkatakan oleh lelaki itu. Siapa yang tak bawa kereta pergi servis? Cuma dia saja yang kadang-kadang langsung tidak mengambil tahu akan keretanya itu.
“Eh lupa.” Syaf sedikit tersengih kelat.
“Dah agak dah.” Firash membalas.
“Hmm, takpelah, aku pergi dulu. Dah lambat ni.” Syaf bersuara lalu menyambung kembali langkahnya yang diatur ke bangunan pejabatnya yang tidak jauh dari situ.
“Eh Syaf!” Kedengaran namanya ditegur seseorang. Syaf tersentak. Wajah Tiqah yang tersengih memandangnya terpamer depan mata.
“Tiqah.” Syaf menggumam perlahan. Matanya dikerling pada kelibat kereta Firash yang sudah berlalu ke jalanraya. Huh, nasiblah Tiqah tak perasan tadi!
“Hai Syaf, berhantar nampak hari ni. Siapa tu?” Muncung Tiqah dihalakan ke jalanraya. Syaf menelan liur. Tiqah nampak ke Firash tadi?
“Err..Kereta aku rosaklah tadi sebab tu ada yang tolong hantar. Dahlah jom, nanti lambat pulak nak masuk opis.” Balas Syaf seraya menarik bahu Tiqah menghala bangunan sepuluh tingkat tu. Tiqah sedikit mencebik. Saja lah tu nak mengelak dari soalan aku!
“Lelaki kan yang hantar kau tadi?” Soal Tiqah lagi seakan tidak berpuas hati. Syaf laju saja menonong meninggalkan Tiqah di belakangnya. Tiqah merungut-rungut kecil.
“Wei, tunggu aku lah.” Laung Tiqah sedikit kuat. Tidak berpuas hati apabila Syaf tidak menjawab pertanyaannya itu.

No comments:

Post a Comment