
Novel : Sebenarnya, Saya isteri dia! 13
Oleh : Addy RifqhieyAKHIRNYA enjin kereta Toyota Camry berwarna putih itu dihentikan selepas hampir empat jam bergerak. Puan Farizah membuka pintu kereta seraya membetulkan tubuhnya yang sedikit lenguh. Angin petang menerobos laju masuk ke dalam perut kereta. Menambah kedamaian suasana ketika itu.
“Mama pergi cari Tok Wan dulu. Nanti Firash kejutkanlah si Syaf tu.” Pesan Puan Farizah mengerling sekilas ke arah belakang. Lena saja Syaf tidur berbantalkan peha Firash itu. Dia tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.
Dia keluar dari kereta dan menarik nafas perlahan. Memandang ke arah rumah kayu yang berkonsepakan tradisional sepenuhnya itu. Pintu utama rumah tersebut kelihatan bertutup rapat. Mungkin saja emaknya itu berada di belakang rumah, fikirnya.
“Yelah ma.” Firash menjawab malas. Belakang tubuhnya terasa sedikit sengal akibat terlalu lama duduk di dalam keadaan menegak. Perlahan-lahan dia cuba membetulkan sedikit kedudukannya, bimbang jika gadis itu terjaga secara tiba-tiba. Itupun hampir kebas saja pehanya kerana agak lama dia memangku kepala Syaf yang sudah tertidur di ribanya.
Memanglah mula-mula tadi Puan Farizah ada menyuruhnya mengurut perut gadis itu dengan minyak angin tapi tak sangka lah pulak yang gadis itu boleh tertidur di ribanya.
Bibirnya mengukir senyuman apabila teringatkan kata-kata mamanya yang menyuruh dia menemankan gadis itu pergi klinik esok. Bukannya dia tak tahu yang reaksi gadis itu macam mana. Walaupun tudung melindungi wajah gadis itu, dia tetap boleh mengagak apa reaksi gadis itu tadi.
Wajah Syaf yang sedang memejamkan matanya itu direnung sekilas. Tudung yang dipakai oleh gadis itu sudah hilang entah ke mana. Dia tersenyum sendiri memikirkan yang tangannya tadi tiba-tiba saja gatal membuka pin serta tudung yang dipakai oleh gadis itu. Perlahan jarinya melurut lembut rambut lepas bahu milik gadis itu. Raut wajah yang masih lagi pucat itu sedikit sebanyak merunsingkan hatinya. Kalau betullah apa yang mama cakap tadi tu macam mana? Sanggupkah dia memegang gelaran seorang bapa di kala usia yang masih muda? Di saat teman-teman sebaya yang masih lagi berkejar dengan buku dan pelajaran. Ah! Dia agak buntu untuk memikirkan perkara itu walau dia bersikap tenang di hadapan Puan Farizah dan gadis itu.
“Bangunlah, dah sampai ni.” Ucap Firash seraya menyentuh lembut pipi gadis itu dengan jarinya. Pehanya sudah tidak mampu lagi untuk menahan kebas yang terasa. Terasa seperti sesak nafas saja. Dengan tiga kali cuitan di pipi barulah kelopak mata itu bergerak-gerak.
Terpisat-pisat Syaf membuka matanya. Agak terasa sengal di batang lehernya apabila lama tidur di dalam begitu. Serentak itu anak matanya menangkap wajah Firash yang sedang merenungnya tidak berkelip. Erk! Apa yang dah jadi ni? Kepalanya yang masih mamai itu tidak dapat memproses apa yang sedang berlaku.
“Eh aku tertidur ke?” Soal Syaf seraya menegakkan tubuh. Tangannya mengurut batang lehernya yang terasa sengal akibat tertidur di dalam keadaan macam tu. Nasib tak terseliuh!
“Tertidur ke sengaja tidur? Aku tahu lah yang kau nak sangat tidur atas riba aku.” Balas Firash dengan kata penuh sindiran. Syaf mengetap bibir dan menjeling Firash sekilas. Dia ni memang lah! Suka sangat nak sakitkan hati aku! Tadi dah elok aje ambil berat semua. Dah rasa macam terbuai-buai aje perasaan bila dia ambil berat macam tu. Tapi sekarang, ya ampun! Sabar aje lah! Satu lagi aku bukannya sengaja nak tertidur atas riba dia tu, tapi tertidur! Dia tak tahu ke yang aku pening sangat tadi?
Terasa kepalanya berangin, dia memegang rambutnya. Mana tudung aku? Dia memandang Firash sekilas. Lelaki itu langsung tidak memandang ke arahnya. Hanya mengurut-ngurut pehanya dengan tangan.
“Kau bukak tudung aku ke?” Soal Syaf sedikit geram. Hee dia ni! Suka-suka hati aje bukak tudung orang! Firash tiba-tiba melemparkan pandangan ke arah Syaf.
“Dah aku nak picit kepala kau macam mana dengan tudung yang kau pakai tu? Kau kan pening tadi so aku bukaklah suruh kena angin sikit.” Balas Firash selamba. Tudung yang berada di sebelah kirinya tempat duduknya itu diambil.
“Nah, ambiklah. Aku pun tak ingin nak simpan tudung kau ni.” Firash menghulurkan tudung bawal Syaf yang sudah hampir renyuk. Syaf terasa ingin mengamuk. Sabar aje lah wahai hati!
“Aku tak suruh pun kau simpankan.” Balas Syaf lalu menyarungkan kembali tudungnya yang sudah hampir renyuk. Dipin kembali agar kelihatan sedikit kemas. Nanti apa pulak kata Tok Wan bila melihat dia tidak memakai tudung. Mesti Tok Wan memandang rendah ke arahnya. Dia mula membuka pintu kereta.
“Hoi cepatnya nak lari? Bukannya nak ucap terima kasih ke apa.” Rungut Firash seraya membuka pintu kereta di sebelahnya. Syaf yang sedang berdiri itu dipandang tajam. Huh! Menyesal aku buat baik tadi! Dan-dan aje tinggalkan aku kat sini! Kaki ni bila pulak nak hilang kebasnya? Rungut Firash lagi.
“Yelah. Thanks sebab tumpangkan kepala aku tadi. Kau tak payah risau, next time aku takkan tertidur lagi dah kat riba kau tu.” Syaf berjalan ke depan sedikit. Terasa hati dengan kata-kata Firash tu. Kalau aku tak pening tadi, mungkin aku tak tertidur atas riba dia lah! Lagipun tadi dia jugak suruh aku baring kat situ. Ni nak marah-marah aku pulak! Sambung Syaf dalam hati.
Tadi hatinya dah mula tersentuh dengan sikap keprihatinan lelaki itu namun sekarang dia tahu yang semua itu hanyalah lakonan saja di depan mata Puan Farizah. Mungkin lelaki itu terpaksa berbuat demikian. Jadi tak payahlah rasanya dia menaruh harapan yang lelaki itu akan menerimanya di dalam hidup lelaki itu. Monolog Syaf di dalam hati.
Dia menuju ke ruang halaman rumah yang dipenuhi dengan pelbagai spesies bunga-bungaan itu. Udara kampung yang nyaman disedut seadanya. Terasa sedikit lapang semua yang ada di dalam fikirannya sekarang.
“Tunggu kejap.” Arahan dari Firash menganggu ketenangan yang baru saja dikecapinya. Dia berpaling dan mendapati lelaki itu sedang menghampirinya.
“Ingat kata-kata aku dulu. Jangan bagi Tok Wan tahu pasal ni.”
“Yelah.” Balas Syaf malas. Bosan sudah dia mendengar ayat itu. Asyik berulang kali saja di telinganya. Entah apa lah yang nak ditakutkan. Takut jatuh sahamlah tu sebab kena kahwin muda! Syaf mencebik.
“Okay, bye my wife.” Firash sedikit menyimpul senyum sambil membuat isyarat selamat tinggal. Syaf berkerut dahi memandang kelibat itu yang sudah hampir menghilang ke suatu tempat. Ah! Ikut suka dia lah nak pergi mana-mana pun! Dia kembali memaku pandang pada sekeliling rumah.
Kelibat Puan Farizah yang sedang berjalan dengan seorang wanita tua yang berusia lewat lima puluhan itu menyapa matanya. Kelihatan wanita tua itu sedang memegang sebilah parang panjang. Hanya berkain batik serta berbaju kurung Kedah sahaja. Syaf mengukir senyum dan berjalan perlahan menuju ke arah mereka berdua.
“Ha Syaf. Inilah Tok Wan. Emak pada mama.” Puan Farizah memperkenalkan wanita tua itu. Syaf menghulurkan tangan untuk bersalam. Dikucup lembut tangan tua itu seraya tersenyum manis.
“Apa khabar Tok Wan?” Sapanya. Wanita tua itu berkerut dahi memandangnya. Syaf mula terasa pelik.
“Ni siapa Zah?” Soal Tok Wan.
Puan Farizah hanya tersenyum mendnegar soalan yang terbit dari bibir ibunya itu. “Ni lah Syafa Aqira. Anak angkat yang Zah cakap tadi tu.” Jawab Puan Farizah. Kelihatan Tok Wan menganggukkan kepalanya.
“Hmm..Nak panggil apa ni? Aku tak pandai lah nak sebut nama budak-budak sekarang.” Balas Tok Wan merenung lama ke arah gadis yang berada di hadapannya. Manis berbaju kurung.
“Zah panggil Syaf je. Tapi kalau mak nak panggil nama lain pun tak apa kan Syaf?” Puan Farizah mengemukan pertanyaan pada gadis itu.
“Ha’ah Tok Wan. Syaf tak kisah kalau nak panggil nama lain pun.”
“Aku panggil kau Qira aje lah. Lidah aku ni dah tua susah nak sebut nama pelik-pelik macam tu.” Balas Tok Wan dan seraya menuju ke tangga. Puan Farizah hanya menepuk bahu gadis itu dan mereka berdua menuju ke anak tangga.
“Syaf dah okay?” Soal Puan Farizah sekilas memandang ke arah gadis itu. Syaf hanya tersenyum dan mengangguk. Setelah tertidur tadi dia merasakan peningnya sudah mula berkurangan. Hanya kadang-kadang saja perutnya terasa perit.
“Baguslah tu. Tapi kalau tak tahan sangat, mama cadangkan Syaf buka aje eh.” Pesan Puan Farizah lagi lalu mereka sama-sama mendaki tangga menuju ke beranda.
“Takpe ma. Syaf okay aje lagi ni.”
Kelihatan Tok Wan sudah pun duduk bersandar di kerusi rotan di situ.
“Hmm, Firash mana?” Soal Tok Wan menjengah ke sekeliling. Tidak nampak pula kelibat cucunya yang sudah agak lama tidak bersua muka itu. Puan Fairzah dan Syaf masing-masing melabuh duduk di kerusi rotan yang berhampiran.
“Tadi ada kat kereta tu tapi sekarang ni tak tahulah pulak pergi ke mana.” Sampuk Puan Farizah. Sudah agak masak benar dengan anak bongsunya yang seorang itu. Pasti ada saja kerjanya kalau balik ke kampung.
“Hmm, biar aje lah dia tu. Eh laki kau tak balik sekali ke?” Soal Tok Wan apabila perasan yang menantunya itu tiada.
Puan Farizah mengeluh lemah apabila terdengar sebaris nama itu. Dia menarik nafas panjang. Syaf pula hanya berdiam diri. Tak tahu untuk mencelah apa-apa perbualan dua beranak itu.
“Busy kut dengan isteri baru dia tu.” Balas Puan Farizah dengan riak bersahaja. Tok Wan yang seperti faham dengan perasaan anaknya itu sedikit mengeluh. Susah kalau orang hidup bermadu ni!
***
“HA FIRASH, tolong angkat beg Qira ni. Letak dalam bilik sebelah bilik kamu tu.” Arah Tok Wan setelah Firash pulang ke rumah. Katanya tadi dia sengaja mengambil angin petang di tepi sawah itu sekejap. Firash mengerling mata ke arah Syaf yang hanya memandangnya.
“Yelah Tok Wan.” Laju sahaja tangannya mencapai beg pakaian gadis itu dan membolos masuk ke bilik yang berada di sebelah biliknya. Bilik itu biasanya digunakan sebagai untuk tetamu yang datang. Dia meletakkan beg itu berhampiran dengan almari pakaian.
“Qira pergi lah rehat dulu. Mama kamu cakap tadi kamu pening kepala kan. Tok Wan dengan mama kamu nak pergi dapur ni.” Ujar Tok Wan.
“Erm, Qira nak masuk dapur jugaklah.” Balas Syaf laju. Seperti tidak sopan pula jika dia hanya berehat di dalam bilik sedangkan Puan Farizah dengan Tok Wan berada di dapur untuk menyiapkan hidangan untuk berbuka nanti.
“Tak pe lah Qira. Dua orang dah cukup dah. Kamu tu rehat aje dulu. Bimbang aje Tok Wan kalau kamu pening-pening lagi.” Nasihat Tok Wan lembut. Bukannya dia tak perasa yang wajah gadis itu seakan pucat sahaja.
“Yelah Tok Wan.” Syaf malas untuk membantah. Kakinya terus sahaja menapak ke bilik yang dimasuki oleh Firash tadi. Sedikit tersentak apabila lelaki itu selamba sahaja berbaring di atas katil bersaiz King itu.
“Eh kenapa tak masuk bilik kau?” Soal Syaf pelik. Bukannya lelaki itu ada bilik sendiri ke kat sini? Kan kalau Tok Wan nampak apa pulak cakap dia. Berdua-duaan dengan lelaki walaupun hakikat yang sebenar mereka adalah suami isteri. Firash menjeling tajam.
“Ala, rehat sekejap kat sini tak boleh ke? Kedekut betul lah. Macam lah bilik ni dia punya.” Balas Firash dengan nada sindiran. Syaf mengetap bibir dengan muka merah padam. Memanglah bilik ini bukan bilik dia tapi hormatlah sikit. Ini tak suka-suka hati aje baring kat situ lepas tu boleh pulak nak sindir-sindir dia!
“Tak pe. Kau baring aje lah. Aku tahulah yang bilik ni bukan bilik aku.” Balas Syaf sedikit berjauh hati. Firash memaku pandang pada Syaf yang sudah hendak keluar dari bilik. Cepat-cepat dia turun dari katil dan menarik tangan gadis itu. Syaf tersentak. Apa lagi yang dia ni nak? Letihlah lah aku macam ni!
“Siapa suruh kau pergi? Aku tak suruh pun.” Suara Firash sedikit tegas di hujungnya. Syaf mengeluh perlahan. Rasa malas nak layan lelaki ni. Dahlah tubuh aku ni tak berapa sihat lagi!
“Kau nak apa lagi ni? Aku peninglah.” Suara Syaf yang mula-mula kuat itu sedikit mengendur. Dia memegang kepalanya seketika. Rasa macam berdenyut-denyut pula.
Firash segera melepaskan lengan Syaf. Dia meneliti wajah gadis itu yang sedang menunduk. Sakit kepala dia datang lagi ke? Terlintas kembali rasa simpati di hatinya.
“Err…Kau pening lagi ke?” Soal Firash dengan nada perlahan. Syaf hanya mengangguk sebelum melangkah menuju ke katil. Dia melabuhkan punggung seketika di situ sebelum kembali memandang Firash. Lelaki itu masih memandangnya dengan pandangan sedikit simpati sebelum mendekatinya.
Firash mengeluh kecil sebelum duduk di sebelah Syaf. Kala tangannya laju untuk memegang kepala gadis itu, terdengar suara Tok Wan dari luar. Firash menarik kembali tangannya seraya bangun.
“Aku keluar dulu. Kau rest aje lah.” Pesan Firash sebelum melangkah menuju ke pintu. Sempat dia menoleh sekilas ke arah gadis itu sebelum menuju ke luar bilik. Sebuah keluhan kecil dilepaskan.
***
“QIRA PERGI lah mandi dulu. Nanti kalau lewat sangat gelap pulak kat luar tu.” Arah Tok Wan semasa mereka usai menunaikan solat Maghrib selepas berbuka tadi. Syaf yang masih memakai telekung itu mengerutkan dahi. Apa maksud kata-kata Tok Wan tu? Otaknya tidak dapat memproses info yang diutarakan dengan tepat.
“Tak boleh ke lewat mandi Tok Wan?” Soalnya seraya menanggalkan telekung yang tersarung. Sejadah diambil dan disidai bersama-sama telekung yang digunakan tadi.
“Qira tak tahu ke yang rumah Tok Wan ni bilik air ada kat luar rumah?” Soal Tok Wan dengan sedikit ketawa kecil. Sudah pasti gadis itu terkejut dengan apa yang diperkatakannya itu. Syaf terpempan. Bilik air ada kat luar rumah?
“Oh. Hmm, kalau macam tu Qira pergi mandi dulu lah. Erm Tok Wan, kat sana gelap tak?” Soal Syaf lagi. Dia mula membayangkan benda-benda pelik. Manalah tahu jika terserempak dengan haiwan-haiwan yang menggelikan itu. Tak sanggup rasanya untuk mandi tapi dengan tubuh yang sudah melekit-lekit ni macam mana pulak nak tidur nanti?
“Gelap jugak. Syaf bawaklah pelita nanti. Tok Wan dah letak kat dapur tu.” Sambung Tok Wan pula. Syaf mengangangguk kecil tanda faham.
“Yelah Tok Wan. Nanti Qira pergi.” Tok Wan menghilangkan diri di sebalik pintu dan menuju ke ruang dapur. Syaf menutup pintu dan mula menyelongkar beg yang bersaiz kecil. Beg itu mengandungi beberapa alatan mandian yang dibawanya dari rumah.
Berus gigi, ubat gigi dan botol mandian bersaiz mini dikeluarkan. Dia mula menyalinkan pakaiannya. Nasiblah kain batik ada dibawa balik bersama. Dia berkembang dan menutup bahagian bahunya dengan tuala bersaiz besar. Dia bahagian kepala pula, dia menutupnya dengan tuala bersaiz sederhana. Pintu bilik dikuak perlahan. Matanya menerawang ke kiri dan ke kanan. Berjaga-jaga jika Firash nampak akan kewujudannya di situ. Dengan langkah sedikit cepat, dia menuju ke ruang dapur untuk mengambil pelita yang diperkatakan oleh Tok Wan tadi.
Tok Wan hanya tersenyum kecil melihat Qira menuju ke arahnya. ” Tu ha pelita, nanti bawak perlahan sikit takut mati pulak apinya.” Pesan Tok Wan semasa Syaf mencapai pelita itu. Syaf hanya mengangguk lalu mencapai pelita itu dengan tangan kiri. Tangan kanannya sudah penuh dengan ubat gigi, berus gigi serta botol mandian.
Selipar jepun hijau disarungkan ke kaki. Dengan lafaz Basmallah, dia menurunkan kaki ke tanah. Hatinya berdoa agar tidak dipertemukan dengan haiwan-haiwan pelik nanti. Bilik air yang tidak sampai dua puluh langkah itu menyapa matanya. Tak adalah jauh sangat pun, bisik hati kecilnya.
Pintu zink seakan rumah kecil itu ditolak perlahan. Dengan pelita yang berada di tangan, dia menjengukkan kepalanya ke situ. Macam nampak ada perigi je? Eh perigi? Manalah aku tahu nak gunakan perigi ni. Tadi Tok Wan tak ada pulak cakap yang kat bilik air ni ada perigi. Masalah betullah, rungut Syaf di dalam hatinya.
Dengan berhati-hati dia menutup pintu zink tersebut dan meletakkan pelita itu di satu tempat kecil yang dibina seperti meja. Mungkin tempat untuk membasuh kain kut, fikir Syaf apabila melihat ada berus serta sabun membasuh di situ.
Tuala yang diletakkan di kepala serta dibahunya dileraikan. Dia menyangkutkan kedua-dua tualanya ke tali penyidai. Rambut yang sedikit melebih paras bahu itu dileraikan dari pengikat getahnya. Matanya tertancap pada satu paip getah di hadapannya. Eh paip apa pulak ni?
Bibirnya tersenyum lebar apabila mendapati paip itu disambungkan dengan pili paip yang tidak jauh dari situ. Apasal aku boleh tak nampak tadi? Fikirnya lalu menapak ke arah pili paip itu untuk memastikan telahannya betul. Patutlah Tok Wan tak risau sangat pun tadi. Dia membuka pili paip untuk memastikan air paip ada.
Kain batik basahan yang tersidai di situ diambil dan dikenakan pada tubuh. Manakala kain batik bersih yang dipakainya itu disidai kembali untuk menukar ketika usai mandi nanti. Dia kembali ke meja kecil untuk sesi memberus gigi. Di kala itu barulah dia teringat yang dia lupa untuk mengambil pencuci mukanya. Ah tak apa lah, nanti cuci muka kat dalam rumah sajalah.
Usai sesi memberus gigi, dia mengambil paip getah itu untuk mengalirkan air ke tubuhnya. Sesekali dia mendongak ke langit malam merenung bintang-bintang yang bertaburan. Best jugak kalau mandi sambil tengok langit, fikirnya lagi. Dan ini mungkin menjadi kenangannya yang terindah kala berada di kampung.
Sedang enak-enak dia menggosok tubuhnya dengan mandian, telinganya seperti mendengar bunyi sesuatu. Segera dia mematikan semua perbuatannya untuk mengenalpasti apa yang telinganya sedang mendengar. Namun suasana hanya sepi sahaja kecuali bunyi-bunyi unggas. Dia kembali meneruskan sesi membersihkan diri tanpa perasaan curiga.
Seketika kemudian terdengar bunyi pintu zink bilik air itu dikuak dari luar. Syaf kaku di situ. Rasanya aku dah kunci pintu tadi, macam mana pulak boleh terbuka ni? Matanya menyorot pandang pada susuk tubuh yang sedang masuk ke situ. Hampir terlompat dia di situ apabila mendapati Firash yang sedang berdiri tidak jauh darinya. Serentak itu paip air di tangannya jatuh ke lantai simen. Menyedari tubuhnya yang hanya berkemban dengan kain batik basahan, cepat-cepat dia mencapai tuala di tali penyidai.
Walaupun di situ hanya samar-samar cahaya kerana hanya bertemankan cahaya pelita, matanya boleh menangkap susuk tubuh Firash yang hanya bertuala separas pinggang. Dia ni buat apa kat sini? Habislah kalau Tok Wan tengok kejap lagi ni!
“Err..Kau buat apa kat sini?” Soalnya dengan nada sedikit tergagap bila mendapati Firash sudah menghampirinya. Dia berundur sedikit ke belakang. Lelaki ini bahaya sungguh! Haruslah dia ambil langkah berjaga-jaga terlebih dahulu.
Firash tersenyum lebar sambil tangannya mencapai ubat gigi yang terletak di meja kecil itu. “Aku nak mandilah. Buat apa lagi kat sini.” Balasnya lalu memicit sedikit ubat gigi lalu diletakkan di berus gigi yang diselit kemas di tuala di pinggangnya tadi. Paip air yang sudah terdampar di atas lantai simen itu dicapai laju.
Syaf mengetap bibir. Nak mandi pun tengok-tengoklah masa dulu. Ni tak aci redah aje masuk bilik air.
“Tak boleh tunggu aku siap dulu ke?” Soal Syaf resah. Namun Firash ralit meneruskan sesi memberus gigi. Syaf mengeluh seketika. Hessy! Buat aku cuak aje! Nak buat apa-apa pun rasa macam tak kena aje!
“Tak boleh. Nanti aku lambat pulak nak pergi masjid. Lagipun tak salahkan kalau teman wife sendiri mandi.” Balas Firash sambil tersengih nakal memandang wajah cemberut gadis itu. Tadinya dia dah dibagitahu oleh Tok Wan untuk menunggu sekejap gadis itu mandi namun dia sengaja berbuat demikian. Ala Tok Wan bukannya perasan pun dia datang tadi!
Syaf menarik nafas panjang. Dah mula lah tu perangai miang keladi dia datang. Aku hairan betullah dengan dia ni sekarang. Serius betul-betul pelik. Macam dah kena ubat guna-guna pun ada! Miang semacam saja!
Dengan langkah sedikit laju, Syaf meninggalkan Firash yang masih lagi terpegun di situ. Pintu zink itu ditutup kasar dan lalu melangkah ke bahagian dapur. Aduhai, malu gila!
***
“HAH! Nak ke mana tu?” Tegur Tok Wan apabila nampak Firash berjalan terjengket-jengket menuju ke bilik Syaf. Firash tersentak lalu berhenti melangkah. Dia mengetap gigi. Spoil betullah Tok Wan ni! Dia memusing tubuhnya memandang Tok Wan sambil tersengih.
“Nak pergi pinjam charger handphone kat Syaf.” Firash membuat alasan. Huh! Bantai aje lah. Nasib tak kantoi! Kalau lah Tok Wan nampak aku tengah ceroboh bilik Syaf, mampus aku kena ceramah free malam ni!
“Oh, ingatkan nak takutkan Qira ke apa tadi? Kamu tu bukannya boleh berkira sangat. Suka sangat duk usik orang.” Sambung Tok Wan melihat cucu lelakinya itu. Dah besar panjang pun!
“Tak adalah Tok Wan. Firash dah insaf dah. Dulu tu kan Firash kecil lagi, memanglah tak matang lagi.” Balas Firash membuat alasa. Matang sangat lah tu! Umur baru aje masuk 21 tahun ni!
“Yelah. Pergi lah cepat. Dah nak masuk pukul 12 ni. Karang si Qira tu tidur susah pulak.” Sambung Tok Wan lalu menapak menuju ke biliknya. Tadi dia ke dapur untuk membasahkan tekak. Puan Farizah awal-awal lagi meminta diri untuk masuk tidur. Katanya penat memandu tadi siang tadi.
Ala, apa susah. Ketuk aje lah. Lagipun tadi kan Tok Wan dah tahu jadi mesti dia tak hairan sangat! Firash kembali mengukir senyum. Tangannya laju mengetuk pintu bilik kayu itu. Hampir empat kali ketukan barulah pintu itu terbuka sedikit dari dalam. Belum sempat Syaf membuka luas-luas, pintu itu sudah ditolak kasar dari luar oleh Firash.
Syaf terkejut sakan melihat kelibat Firash yang dah berada di dalam biliknya itu. Dia menarik nafas panjang dan matanya memandang sekeliling. Bimbang jika tindakan Firash masuk ke biliknya itu disedari oeh Tok Wan.
“Kau nak apa ni?” Soal Syaf sedikit gugup.
Firash sempat mengerling sekilas ke arah katil yang tidak jauh darinya. Entah kenapa sebuah novel yang berada di atas katil itu menarik perhatiannya. Dia melangkah ke arah katil. Syaf yang sudah berpeluh dingin itu mula gelabah sakan. Habislah aku kalau dia buka novel tu!
“Kau baca novel macam ni?” Soal Firash sedikit pelik. Dia tidak kisah jika novel itu novel cinta. Sudah nama pun perempuan pasti tidak akan lepas dengan novel yang bertemakan begitu. Namun novel yang dipandangnya itu adalah novel thriller. Novel karya Ramli Awang Mursyid, novelis terkenal di Malaysia. Setahunya hanya seorang saja yang dia kenal amat meminati novel begini.
“Err…” Syaf sudah kehilangan kata-kata bila tangan Firash sudah mencapai novel Tombiruo Terakhir itu. Dia menelan liur kesat di saat helaian novel itu diselak.
Firash mendengus geram apabila terpandang sebaris nama yang terukir di helaian muka hadapan novel itu. Patutlah macam tak sedar aje aku ketuk pintu ni tadi! Dia mengalihkan pandang memandang Syaf yang sudah agak pucat itu.
“Kau simpan lagi novel dia ni?” Soal Firash dengan sedikit bergetar. Terasa perasaannya lain macam apabila membaca sebaris nama itu.
“Err..Aku baca aje..Tak simpan pun.” Balas Syaf dengan sedikit tergagap. Hampir-hampir mengetuk kepalanya kerana terbawa novel itu balik ke kampung. Dia bukan sengaja tapi novel itu memang ada di dalam begnya kerana sudah terbiasa membawa ke mana-mana.
“No wonder lah kau….” Ayat yang keluar dari mulut Firash itu terhenti saat satu penanda buku terjatuh dari novel tersebut. Syaf memejamkan matanya rapat-rapat. Mati lah aku!
“Farish…” Suara Firash sudah bernada dingin.
Penanda buku yang tertampal gambar Farish itu membuatkan hatinya terasa panas. Dia memaku pandang pada gadis itu dengan renungan tajam.
“Apa semua ni?” Soal Firash dengan nada tegas. Serentak dengan itu penanda buku itu dicampak ke wajah Syaf. Syaf terkedu di situ. Hampir saja dia terlompat dengan tindakan Firash itu. Dia menggigit bibir menahan perasaan.
“Firash, dah ambil belum charger tu?” Tiba-tiba kedengaran suara Tok Wan dari luar. Sepantas kilat Firash mencampakkan novel itu ke lantai. Syaf terkebil-kebil melihat Firash yang sudah serba tidak kena. Dia mengerutkan dahi. Charger apa pulak ni?
“Mana charger handphone kau? Aku nak pinjam kejap.” Gesa Firash. Syaf yang agak keliru dengan situasi itu hanya diam. Namun melihatkan wajah Firash yang seperti bengang dengannya, cepat-cepat dia mengambil charger telefon dari beg pakaiannya. Dihulurkan laju pada Firash apabila terdengar bunyi derapan langkah yang makin kuat di luar bilik. Firash menyambutnya laju.
“Kau ingat yang hal ni tak settle lagi.” Firash berkata lalu membuka pintu bilik. Terpacul kelibat Tok Wan di muka pintu memerhatikan mereka berdua dengan pandangan yang tak dapat dimengertikan.
“Ingat nak tidur dalam ni tadi.” Sindir Tok Wan pada Firash yang berjalan melepasinya. Firash berpaling sekilas sambil tersengih. “Ada ke patut Tok Wan cakap macam tu, tak baiklah. Macam lah Firash ni tak tahu halal ke haram.” Firash membalas lalu menuju ke pintu biliknya. Tok Wan memandang Syaf yang tercegat saja di situ sebelum berlalu ke bilik.
Syaf mengeluh nafas kelegaan. Terasa hampir berhenti jantungnya tadi bila melihat renungan mata Firash yang seakan hendak menelannya kala itu. Serius dia takut melihat perbuatan Firash padanya tadi. Seperti dapat membayangkan apa yang akan terjadi keesokan hari.
***
FIRASH melangkah keluar dari biliknya tepat pukul 9 pagi. Selepas Subuh tadi barulah dia boleh lena dengan aman lantaran terlalu berfikir akan kejadian di bilik gadis itu semalam. Kalau tidak mengenangkan janjinya pada mama untuk membawa Syaf ke klinik sudah pasti dia masih terbongkang di atas katil sehingga ke tengah hari.
Dia hanya berbaju tshirt berkolar Polo warna putih lalu menapak ke ruang tamu. Sempat lagi dia mengerling ke arah bilik Syaf yang masih tertutup rapat. Dia ni bangun ke belum? Tanpa sedar dia menolak perlahan pintu bilik itu setelah memastikan kelibat Tok Wan tiada di situ.
Syaf yang sedang mengemas baju-bajunya yang baru saja dikeluarkan dari beg pakaiannya itu sedikit tersentak apabila mendengar pintu biliknya itu ditutup. Hampir saja terjatuh baju kurung yang dipegangnya ke lantai. Firash sedang berada bersandar di belakang pintu itu sedang merenung ke arahnya tanpa berkelip.
“Err..kau nak apa ni?” Soal Syaf seraya menyangkut baju kurungnya ke dalam almari pakaian. Ada empat pasang baju kurung yang dibawa balik. Dua darinya adalah baju raya yang akan dipakainya nanti. Malam semalam dia tidak sempat untuk berkemas. Selepas saja Firash kembali ke biliknya, dia terus memutuskan untuk tidur awal saja.
“Aku nak tanya sikit.” Balas Firash sambil melangkah sedikit menghampiri Syaf yang masih berdiri di almari. Syaf menutup pintu almari dan berpusing memandang Firash. Mereka berdua bertatapan seketika sebelum Syaf melarikan pandangan ke arah meja solek. Wajahnya terasa membahang kala teringatkan kejadian di bilik air itu. Sumpah lepas ni memang aku mangga betul-betul pintu bilik air tu sampai tak boleh bukak dari luar! Getusnya hatinya kasar.
“Pasal apa?” Soal Syaf cuba berjalan namun terasa lengannya dipegang oleh Firash. Lelaki itu merenungnya lama. Dia cuba meronta namun tangan Firash kemas memaut lengannya.
“Kau mengandung ke?” Soal Firash tepat memandang ke dalam anak mata gadis itu. Syaf menelan liur. Agak terkejut dengan pertanyaan dari lelaki itu. Bibir digigit perlahan.
“Aku tanya ni kau mengandung ke?” Ulang Firash lagi dengan nada sedikit kuat apabila gadis itu hanya berdiam diri. Geram pula dia apabila soalannya itu tidak berjawab. Dia mencengkam sedikit lengan gadis itu. Syaf memandang lengannya yang dicengkam Firash. Aduh dia ni, sakitlah! Rungutnya dalam hati.
“Err..Aku tak tahu.” Balas Syaf dengan sedikit teragak-agak. Dia pun sebenarnya tidak tahu yang dia sedang mengandung atau tidak. Memanglah kebanyakan orang boleh diagak mereka mengandung atau tidak apabila pusingan datang bulan itu tetap. Tetapi dia bukannya macam orang lain. Kadang-kadang ada dan kadang-kadang tak ada langsung. Memang betul-betul tidak teratur.
“Takkan kau tak tahu pulak? Habis tu macam mana dengan period kau?” Soal Firash lagi. Syaf yang sedikit terkedu dengan soalan kedua Firash itu terasa pipinya berbahang. Erk! Memang tak ada corner-corner langsung dia ni, direct gila!
“Period aku memang tak teratur so susah sikit nak agak.” Balas Syaf perlahan. Dia menundukkan wajahnya. Aduh, malunya! Firash yang perasan gadis itu hanya menunduk menyimpulkan sedikit senyum namun hanya bertahan untuk seketika. Entah kenapa hal yang berkaitan novel semalam telah menjejaskan moodnya ketika ini.
“Kau tak payah nak malu-malu lah dengan aku. Aku dah pernah tengok pun semuanya.” Balas Firash lagi dengan nada sedikit riak. Sengaja berbuat demikian untuk melihat reaksi gadis itu.
Syaf menghela nafas panjang. Sakit hati betul dengan kata-kata Firash tu. Dia mengetap bibir dan mendongak mukanya memandang Firash. Hee! Kenapa aku rasa macam nak ketuk aje kepala dia ni!
“Kau…” Hanya itu yang mampu dibalas oleh Syaf sebelum dia cuba meleraikan cengkaman tangan lelaki itu di lengannya.
“Cepat ikut aku pergi check kat klinik.” Sambung Firash lagi apabila melihat gadis itu tidak mampu membalas kata-katanya. Syaf tercengang. Klinik?
“Tak payah buat muka terkejut, ikut je aku.” Firash menyambung lagi apabila melihat riak wajah itu sedikit terkejut. Takkan takut pulak kut dengan klinik? Rasanya aku sorang aje yang anti. Atau dia takut kalau-kalau dapat tahu yang dia mengandung?
“Tapi..”
“Tak ada tapi-tapi. Atau dari kau tak mengandung jadi betul-betul mengandung pulak nanti.” Firash berpaling dengan senyuman sinis.
“Yelah.” Putus Syaf geram. Geram betul apabila lelaki itu seringkali mengugutnya untuk berbuat sesuatu.
“Aku tunggu kat luar.” Pesan Firash lalu beredar ke muka pintu.
***
SYAF sudah serba tidak kena di ruang menunggu apabila mereka sampai di klinik tadi. Terasa ingin melarikan diri pun ada. Dia memerhatikan orang ramai yang sedang sabar menunggu di bangku-bangku yang tersedia di situ. Sesekali dia menjeling seketika ke arah Firash yang sedang membaca suratkhabar berselang sebuah kerusi dengannya. Lelaki itu seperti langsung tiada perasaan. Seolah-olah betul-betul tidak kisah akan dirinya yang terpaksa masuk bilik rawatan nanti.
“Puan Syafa Aqira.” Terjejas lamunan Syaf apabila namanya dipanggil oleh pembantu klinik itu. Dia memandang ke arah Firash sekilas. Firash yang perasan nama gadis itu dipanggil oleh pembantu klinik itu menutup surat khabar yang dibacanya. Dia membuat isyarat masuk pada Syaf yang masih lagi kaku di tempat duduknya.
Firash tersenyum manis pada pembantu klinik itu sambil laju saja tangannya memegang lengan Syaf lalu menolak gadis itu masuk ke bilik rawatan. Syaf nak tak nak terpaksa juga masuk walau hatinya sudah berdebar sakan. Seram sejuk pun ada ni!
Syaf mengambil tempat duduk di kerusi bersebelahan dengan doktor wanita yang berumur lebih kurang dalam awal empat puluhan itu. Sementara Firash hanya berdiri saja di sebelahnya.
“So Puan Syafa Aqira, boleh saya tahu ada masalah apa?” Soal Doktor wanita itu sambil tersenyum. Dia mengerling ke arah Firash di sebelah gadis itu. Nampak macam muda lagi dia ni!
“Err..” Syaf sedikit kelu. Tak tahu nak cakap apa. Terasa segan pun ada bila berhadapan dengan doktor yang memakai tag nama Fatimah itu.
“Kami datang nak buat pregancy test.” Tiba-tiba saja suara Firash datang mencelah. Syaf menggigit bibir. Tahan malu bertambah segan.
“Oh macam tu. Hmm, boleh aje. So Puan Syafa, boleh saya tahu bile last awak datang period?” Soal Doktor Fatimah seraya mengambil satu carta bulat yang mengandungi tarikh-tarikh untuk menentukan tarikh sebenar kandungan jika pesakit di hadapannya betul-betul mengandung.
“Emm..Saya rasa dah hampir dua bulan kut tak datang.” Balas Syaf jujur. Seingatnya memang dua bulanlah selepas kejadian hitam itu. Memang kadang-kadang dia agak runsing apabila terfikirkan hal ini namun bila rutin hariannya selalu saja sibuk, dia jadi lupa segalanya.
“Kalau macam tu, saya rasa awak kena buat urine test untuk confirmkan awak mengandung atau tidak.” Cadang Doktor Fatimah. Syaf terdiam. Urine test?
“Oh, okay.” Balas Syaf sedikit teragak-agak. Firash di sisinya dikerling sekilas. Lelaki itu hanya mengangguk.
“Nanti Puan Syafa boleh pergi tandas kat belakang, lepas tu letak urine kat bilik sebelah.” Arah Doktor Fatimah itu Syaf hanya memandang tanpa berkata apa-apa sebelum bingkas bangun.
“Kau jangan mengada nak lari pulak.” Pesan Firash pada Syaf sebelum gadis itu melangkah keluar. Syaf sedikit mencebik. Kalau aku nak lari, dari tadi dah kut aku lari!
***
DOKTOR FATIMAH memandang wajah Syaf dan Firash dengan senyuman terukir di bibir Sedangkan Syaf dah mula rasa seram sejuk. Terasa berpeluh-peluh walaupun bilik rawatan itu mengandungi penghawa dingin.
“Hmm, nampaknya Puan Syaf dengan Encik Firash tak ada rezeki lagi. Ujian tu negatif.” Doktor Fatimah menuturkan. Dia dapat mengesan reaksi sedikit ceria pada lelaki muda di sebelah gadis itu. Fikirannya seperti mengesan sesuatu.
“Erm, tak apalah doktor. Mungkin bukan rezeki kami lagi.” Balas Syaf sebelum bingkas bangun. Dikerlingnya Firash di sebelahnya yang hanya diam tanpa berkata apa-apa.
“Habis tu kenapa saya tak datang period doktor?” Soal Syaf sedikit pelik. Doktor Fatimah tersenyum.
“Mungkin awak stress atau pun mungkin berat badan awak naik. Itu pun boleh menjejaskan kitaran period awak. Atau awak ada mengambil ubat-ubatan tertentu.” Jawab Doktor Fatimah. Syaf mengangguk tanda bersetuju. Berat naik? Mungkin tak tapi kalau disebabkan stress memang dia bersetuju. Dua bulan ni memang dia terlalu banyak berfikir.
“Erm..Boleh saya tahu dah berapa lama awak berdua kahwin?” Soal Doktor Fatimah ingin tahu. Syaf yang sedikit terkejut dengan pertanyaan doktor itu mengukir senyum kelat.
“Dah dua bulan lebih.” Balas Firash laju sebelum pergelangan gadis itu dicapai.
“Oh. Maafkan saya kerana bertanya.” Sedikit kelat wajah Doktor Fatimah berkata-kata apabila lelaki yang di hadapannya itu merenung tajam.
“It’s okay doc. Kami keluar dulu. Anyway thanks.” Laju saja Firash membalas sebelum menarik tangan gadis itu menuju ke pintu. Syaf yang terpinga-pinga dengan tindakan Firash itu hanya berdiam dan menurutkan saja.
Selepas membayar bil klinik itu, Firash menonong laju langkahnya ke kereta. Syaf yang berjalan agak perlahan itu sedikit terkial-kial mengikut lelaki itu. Dia merungut dalam hati. Tahulah kaki dia tu panjang!
Syaf menutup pintu kereta. Dikerlingnya lelaki itu di sebelah. Hanya berdiam diri sahaja tanpa berkata. Enjin kereta sahaja yang dihidupkan. Tiba-tiba dia berasa ingin menanyakan sesuatu.
“Err..Kau kecewa ke dengan keputusan urine test tu?” Soal Syaf perlahan. Firash cepat berpaling dan merenung tajam ke arah gadis itu.
“Apasal aku nak kecewa pulak? Aku happy apa dengar apa yang doktor tu cakap. At least tak adalah aku dapat title baru.” Sinis sahaja jawapan dari bibir lelaki itu sebelum ketawa kecil mengakhiri kata-kataya. Syaf mengeluh perlahan. Ya, lelaki itu tentulah gembira kerana dia tidak perlu memikul beban menjadi seorang bapa pada usia yang terlalu muda. Tapi hatinya sedikit terkilan dengan kata-kata lelaki itu. Apa akan jadi kalau keputusan itu positif? Adakah lelaki itu terasa terbeban? Macam mana pula dengan dirinya nanti?
“Aku..”
“Dah stop cakap pasal ni. nanti balik just cakap je kat mama. Aku ni ajak kau pergi klinik sebab aku dah confirmkan aje hal ni.”
“Maksud kau?”
“Maksud aku, aku dah boleh agak kau tak mengandung. If kau mengandung, aku dapat rasa jugak.” Balas Firash lancar. Sedangkan Syaf dah berkerut dahi. Apa maksud dia ni?
“Aku tak faham. Macam mana kau boleh tahu?”
Firash menarik nafas. ” Aku tahu lah sebab aku yang buat. Even masa tu aku separuh sedar, I can’t feel it cuma aku tak dapat nak fokus aje. Kalau aku betul-betul fokus, memang sekarang kau dah mengandung pun.” Balas Firash dengan nada sedikit riak.
Syaf terdiam apabila mendengar kata-kata Firash itu. ‘Firash, walaupun kau tak fokus, perbuatan kau tu dah membuat diri aku dah tak suci lagi, itu yang lebih penting sebenarnya’. Rintih hati Syaf sayu.
“Dah, balik je. Banyak lagi kerja nak dibuat.” Firash memotong kata-kata Syaf sebelum gadis itu menghabiskan ayatnya. Dia menarik gear dan kereta keluar dari tempat parking.
Syaf mendiamkan diri dan mengeluh lemah. Firash memang takkan suka kalau aku mengandung, tengoklah kata-kata lelaki itu tadi. So kau tak payah nak berangan nak mengandung untuk dia, fikir Syaf lagi sebelum membuang pandang ke luar tingkap. Mengingatkan akan kejadian hitam itu hatinya terasa pedih. Dia memejamkan mata. Segalanya mula terlayar di ruang ingatan.
No comments:
Post a Comment